BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

MY FAVORITE SONG


Lyrics | Mizz Nina lyrics - What You Waiting For? lyrics
What You Waiting For- Mizz Nina ...

Friday, March 13, 2009

Surah Al-Maidah Buka Jalan PengIslaman

Al-Maidah buka jalan pengislaman
Susunan ZUARIDA MOHYIN

Membaca al-Quran mampu melembutkan hati pembaca seterusnya mendapat hidayah Allah.

DIBESARKAN dalam keluarga yang beragama Kristian, Hayat Anne Collins
Osman mengakui bahawa orang Amerika 20 tahun dulu, jauh lebih beragama
berbanding sekarang. Ini kerana, masih ramai pergi gereja pada setiap
Ahad.

Malah kata Anne, ibu bapanya turut aktif dengan komuniti gereja.
Mereka selalu menjemput paderi berkunjung ke rumah serta ibu mengajar
di sekolah Ahad dan dia selalu membantu ibu.

Boleh dikatakan Anne adalah antara kanak-kanak yang dikategorikan
kuat pegangan agamanya berbanding anak ahli komuniti yang lain,
walaupun Anne tidak merasai sedemikian.

Pernah sewaktu sambutan hari lahirnya, Anne menerima hadiah kitab
Injil manakala kakaknya menerima anak patung. Anne juga pernah meminta
ibunya buku-buku sembahyang dan mula mentelaah buku tersebut bertahun
lamanya.

Tambah Anne, semasa di sekolah menengah rendah (kelas pertengahan) ,
dia mengikuti program pengajian kitab Injil selama dua tahun.
Sehinggakan pada satu peringkat, dia ada terbaca satu bab di dalam
kitab tersebut yang tidak begitu difahami.

Semakin dia mendalami kitab Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru, lebih banyak yang aneh dan tidak dapat diterangkan muncul.

Contohnya, kitab Injil mengajar akan idea yang dipanggil Dosa Azali.
Yang membawa maksud, manusia itu dilahirkan dengan dosa. "Saya
mempunyai adik lelaki dan saya tahu bayi (adik lelaki) itu tidak
berdosa," getus hati kecil Anne mula mempersoalkan pengajaran dalam
agama anutannya itu.

Yang pastinya, kata Anne, kitab Injil itu banyak yang pelik dan
cukup menganggu atau menolak fitrah manusia itu sendiri. Alhamdulillah,
pada masa itu ada seorang pelajar lelaki yang tidak putus-putus
bertanya soalan. Malah persoalan yang paling kritikal ialah konsep Trinity. Ia langsung tidak dapat diterima akal dan yang paling mengarut, apabila tuhan itu menyamai manusia.

Walaupun banyak penjelasan yang diberikan berkaitan konsep Trinity
namun jawapan yang diberikan masih tidak memuaskan hati pelajar lelaki
itu. Begitu juga dengan Anne. Akhirnya, guru mereka, seorang profesor
teologi Universiti Michigan menyuruhnya berdoa memohon petunjuk Tuhan.
Anne pun berdoa.

Semasa di sekolah menengah, secara diam-diam Anne menyimpan
cita-cita menjadi biarawati. Apabila berada di kolej, sesetengah
pelajar kerap bertelagah tentang agama dan dia mula mendengar pelbagai
idea. Malah beliau mula belajar tentang agama Buddha, Konfucius dan
Hindu. Sayangnya, jawapannya tidak ada di situ.

Pada masa yang sama, Anne berkenalan dengan seorang Muslim dari
Libya. Dia menceritakan tentang agama Islam dan kitab al-Quran mereka.
Katanya, Islam adalah agama yang moden, agama yang tidak ketinggalan
zaman.

Memandangkan pemahaman Anne tentang Islam tertumpu pada orang Islam
di Afrika dan Asia Barat yang nampak terkebelakang, lantas Anne
bulat-bulan menolak agama Islam itu.
Pernah semasa Anne sekeluarga menyambut Hari Natal, keluarganya
membawa pemuda dari Libya tadi untuk meraikan acara sambutan di gereja.

Sayangnya, pemuda itu cuba membangkitkan persoalan seolah-olah
memperkecilkan agama Kristian dan telah membangkitkan kemarahan Anne
pada awalnya. Tetapi kemudian, Anne mula berfikir mengenai kebenaran di
sebalik soalan itu tadi.

Anne mengakui sungguhpun dia kurang bersetuju dengan beberapa ajaran
agama Kristian tetapi dia tetap mengunjungi gereja, walaupun jiwanya
tidak berada di situ.

Sesuatu yang mengejutkan berlaku, bila seorang yang rapat dengannya
mengalami masalah serius dalam perkahwinannya dan telah pergi berjumpa
dengan pembantu paderi untuk meminta nasihat.

Pembantu paderi itu rupa-rupanya telah mengambil kesempatan di atas
keperitan dan kesugulan wanita tadi, dengan membawanya ke motel lalu
cuba menggodanya.
Pada peringkat ini, Anne sudah tidak dapat menerima bagaimana orang
yang bertanggungjawab besar mendengar rintihan, sanggup mencabuli
kepercayaan pengikut yang setia.

Anne pergi ke gereja sekali lagi, duduk dan memandang tepat wajah
paderi di situ. Di fikirannya berputar-putar beberapa persoalan. Kenapa
perlu orang tengah atau perantara? Mengapa kita tidak boleh berhubung
secara terus dengan Tuhan? atau mohon pengampunan sendiri?

Tidak lama kemudian, Anne menemui jawapannya menerusi terjemahan
al-Quran di sebuah kedai buku. Lantas, dia membelinya dan mula
membacanya berkali-kali selama lapan tahun. Pada masa yang sama membuat
perbandingan dengan agama lain.
Orang Yahudi

Akhirnya, surah al-Maidah ayat 82 hingga 84 yang bermaksud: Sesungguhnya
kami dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap
orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang
musyrik.... ... Mengapa kami tidak akan beriman kepada Allah dan kepada
kebenaran yang datang kepada kami, padahal kami sangat ingin agar tuhan
kami memasukkan kami ke dalam golongan orang-orang yang soleh?" merungkai persoalan yang dicari selama ini.

Apa lagi bila melihat umat Islam bersolat jemaah yang ditayangkan di
kaca televisyen dan mengetahui bahawa mereka mempunyai cara solat unik
dan sudah pasati ia bukan ciptaan manusia tetapi ia daripada Allah SWT.

Malah menerusi surah yang sama ayat kelima yang bermaksud: ... Pada
hari itu aku telah sempurnakan bagi kamu agamamu, dan Aku telah
cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan Aku telah reda Islam itu menjadi agama
bagimu..."

Air mata Anne berderai tanpa henti menanda kegembiraan dan
kesyukuran. Allah mengetahui bahawa Anne Collins dari Cheektowaga, New
York, Amerika Syarikat akan membaca ayat dari surah di atas pada Mei
1986 dan kemudian diselamatkan.

Kini, beliau sedar bahawa banyak yang perlu dipelajari terutamanya
bagaimana menyempurnakan solat yang betul. Masalah beliau pada ketika
itu ialah ketiadaan kenalan Muslim.

Anne buntu dan dia pernah mencari nombor telefon persatuan Islam
menerusi buku panduan telefon tapi bila cuba dihubungi, suara lelaki
yang menyambutnya membuatkan Anne terkejut lalu memutuskan talian
tersebut.

Akhirnya, dia menemui kaedah yang sesuai iaitu dengan menulis
sepucuk surat bertanyakan beberapa maklumat. Ada seorang hamba Allah
lelaki dari masjid itu yang menghubungi Anne dan kemudian mengirimnya
risalah-risalah berkaitan Islam.

Dari sehari ke sehari, Anne semakin teruja dengan Islam sehingga dia
memikirkannya siang dan malam. Anne pernah beberapa kali melintasi
masjid berdekatan hanya untuk mengetahui apa yang mereka lakukan di
sana.

Akhirnya, pada awal November 1986 sewaktu sedang asyik menyiapkan
kerja di dapur, Anne dapat merasakan yang dirinya sudah Islam.

Masih dengan sifat penakut, Anne menulis surat yang berbunyi: "Aku
bersaksi bahawa tiada tuhan disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah".

0 comments: